Friday, September 4, 2009

BAB 2 (SERU)

''Hana,Yusra nak ajak Hana ke kuliah agama malam Ahad ni.''Asiah Yusra menyampaikan maksud kedatangannya ke bilik Hana pada malam itu.Bilik Hana terletak di Mahallah Hafsa,blok D,agak jauh dari Mahallah Aminah.
Asiah Yusra merentasi bangunan pentadbiran,bangunan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains kemanusiaan serta bangunan CELPAD untuk tiba di kolej kediaman Hana.Perjalanan ke Mahallah Hafsa memakan masa selama lima belas minit.Jika mahu,dia boleh ke situ dengan kereta pemberian ayahnya.Kelisa WGN 1710.Namun,dia lebih senang menyewakan keretanya dengan harga sewa yang biasa.Rm4 sejam menyebebkan Kelisanya menjadi rebutan pelajar untuk disewa.
Sudah kali ketiga Asiah Yusra mengajak Hana.Dia kerap menziarahi Hana sejak Hana merajuk tempoh hari.Dia ingin memenangi kembali hati Hana.Seruan dakwah sebati di jiwa.
''Minta maaf.Hana nak balik kampung hujung minggu ni.Pagi Isnin baru Hana balik semula ke sini.''
Seperti biasa,Hana mencipta Alasan untuk mengelak.Asiah Yusra mengangguk sambil tersenyum.Dia meraikan alasan Hana.Lagipun,dia tidak suka memaksa,cuma mampu mengajak sahaja.Dia telah berjanji terhadap dirinya sendiri agar tidak sesekali berasa jemu mengajak walaupun ajakannya sering dibalas penolakan.
'Biarlah orang jemu dengan ajakanku asalkan aku yang tidak jemu untuk terus mengajak.Rasulullah sentiasa istiqamah.Baginda tak pernah berputus asa membawa manusia kepada Rabnya.Baginda sebaik-baik qudwah untuk kuikuti,'monolog Asiah Yusra menyuntik kekuatan kepada diri sendiri.
''Yusra,Hana nak bagitahu sesuatu.''Hana memandang wajah temannya.Asiah Yusra membalas dengan senyuman sambil mengangguk-angguk.
''Err,kasihan Yusra!Tapi,Hana terpaksa bagitahu juga.''Hana kembali bersuara setelah suasana sepi seketika.Dia berasa keberatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya pada saat itu lantaran simpati terhadap Asiah Yusra.
''Apa dia?cakaplah!''pinta Asiah Yusra.Wajah Hana kelihatan serba salah.Dia menggaru-garu pipinya yang tidak gatal.
''Err,Yusra tak perlu ajak Hana lagi sebab Hana memang tak free pada hari minggu,''sambung Hana.Kata-kata itu mengembalikan ingatan Asiah Yusra kepada teman baiknya.Elya Khadeeja.
Pada zaman persekolahan,setiap kali hujung minggu di asrama,Asiah Yusra dan Elya Khadeeja terpaksa menghadapi beberapa orang pelajar ASPURI yang merayu untuk pulang ke kampung.Peraturan asram membenarkan pulang dua kali sahaja dalam sebulan.Namun,terdapat pelajar yang bersungguh-sungguh merayu untuk pulang hanya apabila dimaklumkan bahawa Biro Ibadah dan Dakwah akan mengadakan program tarbiyah pada hujung minggu di ASPURI.Pelbagai alasan diberikan.Sudah banyak kali pengalaman yang sama mereka hadapi sehinggakan mereka cukup masak dengan situasi itu.
'Aku tak boleh lupa betapa tenangnya Elya memujuk mereka.Bicaranya sarat kasih sayang.Dia tak mudah marah dan berputus asa.Itu kualiti dirinya yang kukagumi.Aku ingin jadi sepertinya.'Asiah Yusra terpujuk setiap kali terkenangkan peribadi Elya Khadeeja.
''Yusra terasa ke?''Hana hairan melihat minda Asiah Yusra seakan terbang seketika.Pertanyaan Hana itu mengembalikan Asiah Yusra dari dunia silamnya.
''Hana balik nak jumpa nenek,ya?''teka Asiah Yusra.Hana sering bercerita tentang neneknya yang tinggal di Pahang.Asiah Yusra memahami bahawa Hana terlalu sayangkan neneknya.Dia menanam azam untuk mengenali nenek Hana.Baginya,mungkin dia boleh memenangi hati Hana untuk diajak ke majlis ilmu hanya apabila dia berjaya memenangi hati nenek Hana terlebih dahulu.Hana terlalu menyanjungi setiap kata-kata nenek kesayangannya itu.
''Mm,Hana nak jumpa tok.Hana jarang-jarang balik ke rumah.Hana lebih suka jumpa tok walaupun jauh di Rompin.''
''Rompin kat mana?''Asiah Yusra peka dengan fakta yang boleh meningkatkan taaruf.
''Felda Keratong Satu.Tok Hana lebih memahami Hana berbanding mak Hana sendiri.Tok suka nasihatkan Hana.Sebab itulah Hana rasa tak rugi tinggalkan kuliah agama.Jika Hana ziarah tok,Hana dapat pengisian agama juga.Walaupun tak banyak yang tok boleh bagi,yang penting ia menyentuh hati Hana,''Hana berhujah untuk menguatkan alasannya.
''Mm,babuslah tu!Sekurang-kurangnya,ada juga pengisian agama dalam hidup Hana.Yusra teringin nak kenal tok Hana.Yusra dapat rasakan tentu dia wanita istimewa.Apa namanya?''Asiah Yusra mencari peluang untuk mengenali nenek Hana dengan lebih mendalam.Dia tahu,Hana cukup seronok apabila berbual tentang neneknya.
''Siah binti Sudin.Orang memanggilnya Mak Ngah Siah.Hana panggil 'tok' saja.Hana memang nak kenalkan Yusra dengannya.Jomlah ikut Hana ke rumah nenek Hana tu!''Hana pula yang mengajak Asiah Yusra.
Asiah Yusra tersenyum.Hatinya berdetik.
'Bagus juga kalau aku terima ajakan Hana ni agar lain kali Hana pula akan terima ajakanku.Tapi...'
''Yusra memang berhajat nak pergi.Moga Allah pertemukan pada suatu masa nanti.Tapi,Yusra tak boleh tinggalkan kuliah tu,terasa rugi.Hati Yusra dah benar-benar terpaut pada pengisian di situ sebagaimana terpautnya hati Hana pada nenek Hana.''Butir bicara disusun untuk menolak dengan hikmah.Nampaknya,azam yang ditanam untuuk mengenali nenek Hana mula membibitkan kenyataan cuma masanya belum sesuai.Allah memang suka mempermudahkan jalan bagi setiap kemahuan yang baik.
''Apa yang best di situ?''Hana mula berminat.
''Yusra tak tahu apa maksud Hana dengan best.
Biasanya ramai orang yang menganggap sesuatu kuliah itu best apabila penceramahnya pandai buat lawak.Bagi Yusra,sesuatu kuliah itu best apabila penyampaiannya berjaya menyentuh dan menghidupkan hati-hati pendengarnya dengan sinar iman.Itu yang istimewa dengan pengisian nenek Hana juga,kan?!''
''Tok Hana tak pandai berceramah.Sekolah pun tak habis.Dia bukan alim sangat dalam agama,cuma dia pegang betul-betul apa yang dia tahu.Entah,Hana pun tak tahu apa maksud best yang Yusra maksudkan tadi.''
Kuliah Fiqh Dakwah dan Tazkiyah Al-Nafs ni tak banyak bagi seloroh dan lawak yang boleh diketawakan.Namun,penceramahnya bercakap dari hati bisa tembus ke setiap hati yang mendengarnya.Yusra dapat merasakan,pengisian tu lahir daripada cahaya seorang murobbi.Penceramah itu mempunyai sahsiah diri yang inggi.Yusra amat kagumi.Yusra teringin jadi sepertinya.Sahsiah dan kata-katanya seiring,mencontohi Rasulullah s.a.w.. Itulah yang paling best di majlis ilmu tersebut.''Asiah Yusra mengemukakan pandangannya.
''Hana selalu juga ikuti kuliah agama di televisyen dan mana-mana forum anjuran universiti.Tapi,Hana merasakan penceramah tu semua tak seistimewa tok Hana.Sebabnya,tok menasihati Hana dalam keadaan dia mengambil berat dan menyayangi Hana sebaliknya penceramah hanya tahu berceramah tapi tak pandai follow up.''
''Betul.Mana mungkin ceramah yang diadakan sekali sekala tu mampu melahirkan manusia yang istiqamah beriman.Dugaan hidup bak landaan tsunami,tak terubat dengan sekadar mendengar ceramah.''Asiah Yusra mengiyakan.
''Hana bukan perlukan nasihat atau ceramah semata-mata tapi Hana perlukan perhatian dan didikan berterusan.Sekarang ni,perspektif Hana kepada semua penceramah sama sahaja.Mereka hanya tahu berceramah bukan mendidik.Hana tahu,tak semua penceramah begitu,mungkin Hana yang selalu berfikiran negatif.Tapi,entah macam mana.Hana nak ubah perspektif ni,''luah Hana dengan jujur.
'Hana,jiwamu merindukan didikan islam yang sebenar.Apa yang kau luahkan,memang itulah kaedah tarbiah.Didikan perlu dilakukan dalam bentuk yang boleh berinteraksi dengan fitrah manusia.Ia juga perlu pada follow up.Tarbiah lebih berkesan apabila ia berlaku secara tabi'i.Itu qudwah yang Rasulullah tunjukkan dalam tarbiah Baginda terhadap para sahabat.Baginda membuat tindakan lanjut pada kehidupan sahabatnya agar semua suasana yang dilalui bisa menjadi suasana yang mendidik.Natijahnya,setiap saat hidup Baginda adalah tarbiah'.Asiah Yusra hanya memendam suara hatinya kerana takut hanya pandai berteori.Sebaliknya dia berazam untuk menunjukkan praktikalnya.Kepada Allah dipohon kekuatan.
''Kenapa Yusra diam?''Hana hairan.
''Diam berfikir,''balas Asiah Yusra.
''Berfikir?''Hana mahu lebih jelas.
''Mm,berfikir tentang matangnya Hana.Yusra juga terfikir betapa masyarakat kita sebenarnya terlalu hajat pada insan berjiwa murobbi yang mampu menyampaikan ilmu serta membuat follow up sekali.Kita ketandusan murobbi.Rasulullah murobbi agung umat ini.Doakanlah agar kan lahir lebih ramai lagi pewaris perjuangan Baginda sebagai murobbi ummah.''
''Hana rasa mustahil.''Hana tidak yakin.
''Tiada yang mustahil dengan izin Allah.Mungkin pada masa akan datang,Hana yang bangkit menjadi murobbiah buat pemuda pemudi islam.Siapa tahu?Yang penting sekarang,kita kena berusaha mendidik diri ke arah menjadi insan murobbiah.Sampai bila nak menunding tugas ni pada orang lain?kalau bukan kita siapa lagi?kalau bukan sekarang bila lagi?Kalau bukan di sini di mana lagi?''Asiah Yusra cuba membangkitkan kesedaran sahabatnya.Terdiam Hana mendengarnya.Diamnya juga kerana berfikir.
Setelah hampir setengah jam berada di situ,Asiah Yusra meminta diri.Sempat dia mengingatkan,''kalau Hana tiba-tiba berubah fikiran,tak jadi ke rumah tok Hana hujung minggu ni,jemputlah ke kuliah Dr. Izzul Hafiz.Yusra pasti ternanti-nanti kedatangan Hana di situ.Bagi Yusra,dia seorang penceramah bersifat murobbi.''Hana tersengih sambil memberi secebis harapan.
''Tengoklah,kalau free,Hana pergi.''
Asiah Yusra mengukir senyuman tanda gembira walaupun dia sedar yang dia tidak boleh terlalu berharap pada kata-kata itu.Dia yakin,Hana akan pulang juga berjumpa nenek kesayangannya.Biarkanlah.
'Aku hanya mampu mengajak,aku bukan penghukum.Aku tak boleh menghukum Hana sebagai mengelak kerana hatinya masih perlu didekati agar pada suatu hari nanti,hatinya yang berpotensi itu akan menyerah pada tarbiah.Ya Allah,berikan aku kekuatan,berikanlah aku ketabahan.Hilangkan sikap berputus asa,lemah dan berkeluh kesah daripada hatiku.Engkaulah pemilik hati insan.Oleh itu,hanya pada-MU kuserahkan urusan setelah aku berusaha menyeru setakat yang terdaya.'
Asiah Yusra berubah ke arah bilik Imtisal pula.Dia berjalan kaki selama lima belas minit untuk tiba di Mahallah Aminah yang juga merupakan kolej penginapannya.Dalam perjalanan,dia terserempak dengan Layyinul Harir di tangga besar universiti,di hadapan bangunan pentadbiran.Mereka bersalam dan berpelukan.Layyinul Harir kelihatan riang dapat bertemu dengan sahabat yang bertakhta di hatinya itu.Gadis itu tampak menarik dengan selendang bawal bermanik berlian dan jubah potongan moden.Serba ungu.Gadis Negeri Sembilan itu memang pandai bergaya.Dia baru pulang dari perpustakaan.
Asiah Yusra membetulkan kelepet tudung labuhnya yang berwarna kuning air.Dia tersenyum manis.Wajahnya tenang dan bersih.Tiada tahi lalat kelihatan.Lidahnya basah dengan peringatan untuk mengingati Allah.Dia menyedari,peringatan itu untuk diirinya sendiri juga.
Seperti sebelumnya,Asiah Yusra menjemput Layyinul Harir ke majlis ilmu.Layyinul Harir mengungkap 'insya-Allah',cukup untuk membuatkan hati Asiah Yusra gembira.Asiah Yusra menaruh harapan untuk memennangi hati Layyinul Harir agar tunduk kepada didikan islam.Gadis itu suka mencari pengislahan diri,itulah kualiti dirinya.
Walau bagaimanapun,penampilan menarik yang dimiliki oleh gadis tersebut membuatkan dia sering diuji dengan cinta.Kerap kali dia lemas dalam lautan cinta,kemudian bangkit seketika dan lemas kembali.Asiah Yusra mengetahui ujian yang sering menguji temannya itu.Biarpun begitu,itu bukan alasan untuknya menyisihkan Layyinul Harir.Sebaliknya,dia tidak jemu mengajak.Dia yakin,hati yang hajat pada kebenaran seperti yang dimiliki oleh Layyinul Harir mudah dipandu oleh Allah malah akan dipermudahkan jalan.
Asiah Yusra sentiasa mendoakan kebaikan untuk Layyinul Harir.Persahabatan mereka berkuntum di kuliah agama Dr. Izzul Hafiz.Layyinul Harir datang tiga minggu berturut-turut kerana berasa kekosongan.Di situlah,perkenalan bermula,membuahkan persahabatan.Ukhwah itu perlu disuburkan lagi agar Layyinul Harir boleh dibebaskan daripada perhambaan dunia cintanya.Demikian azam Asiah Yusra.
''Yusra akan tunggu Lien di kuliah tu malam esok.''Asiah Yusra menggunakan gaya bahasa mengharap.
''Err,kasihan Yusra kalau Lien tak dapat pergi.''Layyinul Harir seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan Asiah Yusra.
''Tak perlu kasihankan Yusra.Kita datang kerana Allah,bukan kerana manusia.''Asiah Yusra membetulkan.Layyinul Harir menjeling jam di tangan.
''Lien busy hujung minggu ni?''Asiah Yusra mahu mengorek alasan Layyinul Harir.
''Bukan busy.Cuma siangnya tu Lien nak keluar.Malamnya mesti letih.''
''Keluar dengan siapa?''
''Err,tak ada sesiapa.''
''Biar Yusra temankan.''
''Eh,tak apalah!Thank you.Pandailah Lien bawa diri nanti.''
''Yusra risaukan Lien.Biarlah Yusra temankan.''
''Err,sebenarnya Lien nak keluar dengan teman Lien!''Layyinul Harir akhirnya berterus terang.
''Lelaki?''Asiah Yusra minta penjelasan.
Layyinul Harir tidak menjawab soalan itu.Asiah Yusra sudah maklum personaliti Layyinul Harir,diamnya tanda mengiyakan.Kadangkala dia akan mencipta alasan tersendiri.Namun,kesahihannya adalah senang dibaca melalui riak wajahnya.Dia tiada bakat menipu.Dustanya mudah disingkap oleh perubahan pada air mukanya.Wajahnya ketakutan tiap kali berbohong.
Asiah Yusra telah banyak kali menyaksikan Layyinul Hariri keluar dengan lelaki.Kali ini,Asiah Yusra mengesyaki perkara yang sama.Oleh itu,ligat otak Asiah Yusra memikirkan cara terbaik untuk mencegah niat Layyinul Harir itu.Dia pernah melihat temannya itu sedang makan berdua-duaan di kafeteria Kulliyah Ekonomi.Nampak intim.Namun,dia tidak terburu-buru bertindak menghalang kerana itu akan menjauhkan Layyinul Harir darinya.
Dia ingin mentarbiyyah Layyinul Harir secara lembut dan hikmah.Antara ukhwah dan kebenaran,dia perlu mendahulukan ukhwah terlebih dahulu dalam keadaan seperti itu.Namun demikian,dia tahu bahawa tidak selamanya dia perlu berdiam dengan kemungkaran.Apabila tiba waktunya,kebenaran yang dipendam perlu diluahkan.Dia mahu ukhwah yang terbina dihiasi ingat memperingati dengan kebenaran serta ingat mengingati dengan kesabaran.Barulah ukhwah itu lebih bermakna.
''Yusra ingat nak belanja Lien makan tengah hari pada hari ahad ni.Lien taknak makan dengan Yusra?''Asiah Yusra menemui satu jalan.Dia mahu mengubah perancangan Layyinul Harir.
''Apasal nak belanja Lien pula ni?''
''Sebab sayangkan Lienlah,''spontan jawapan Asiah Yusra membuatkan Layyinul Harir terhibur.Namun,hati yang telah diselaputi cinta lelaki,membuatkan dia berusaha mencari jalan untuk menuju kepada apa yang lebih dicintai.Semua peringatan jadi kabur di mata hatinya.Hati yang telahpun terisi dengan nama seorang lelaki dengan cinta yang tidak syar'e,tiada ruang lagi bagi nur Allah untuk memenuhinya.
''Errbbaru Lien ingat,mak nak datang jemput Lien makan tengah hari pada hari Ahad ni.Terima kasih sajalah,Yusra.Lain kali,ya!''Layyinul Harir terpaksa berbohong.Kelopak matanya berkedip-kedip.Air liur ditelan.Dia kelihatan kurang selesa dengan dustanya.
''Nak keluar dengan kawan atau nak makan dengan mak?''Asiah Yusra minta penjelasan.Alasan yang diberikan bertentangan.
''Err,nak makan dengan mak.''
''Baguslah!''
'Maafkan Lien.Lien terpaksa tipu.Lien tak sampai hati nak tolak ajakan Malik.Antara ajakan Yusra dan Malik,Lien tak tahu kenapa Lien harus memenuhi ajakan Malik?'Bisik Layyinul Harir.Dia sendiri keliru dengan pilihannya.
Asiah Yusra ragu-ragu dengan kenyataan itu namun ditangkisnya dengan berbaik sangka.Masing-masing mula menyusun haluan tersendiri.
''Err,Yusra!''Layyinul Harir tiba-tiba memanggil.Hatinya dilanda serba salah.Asiah Yusra yang baru mennapak tiga langkah berpaling ke belakang.
''Yusra,bagilah nnasihat sikit pada Lien sebelum berpisah ni,''pinta gadis itu.Asiah Yusra tersenyum.Memang itulah peribadi mulia Layyinul Harir,hatinya sentiasa berhajat pada kebaikan.
''My dear,to love someone is nothing,to be loved by someone is something,to be loved by someone you love is exciting,but to be loved by Allah is everything.Lien,Allah loves you.''Madah itu mengakhiri pertemuan mereka pada hari itu.Layyinul Harir berfikir panjang dengan kata-kata tersebut.
''ASSALAMUALAIKUM.''Ucapan salam Asiah Yusra bergema di pintu bilik Imtisal.Pintu dikuak dari dalam.Imtisal ceria menyambut kedatangan gadis bertudung labuh dan berjubah itu.Seraut wajah tenang yang dimiliki cukup mendamaikan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.Apatah lagi,seulas senyuman tak lekang menghiasi bibir.
Hindun memanjangkan leher dari petak biliknya,menjenguk siapa yang datang.Sempat Asiah Yusra mengukir senyuman namun tidak berbalas.Sebaliknya,Hindun bergegas keluar.Dia berasa tidak selesa setiap kali Imtisal didatangi tetamu.
''Nak ke mana?''Asiah Yusra mengambil peluang menyapa Hindun.Hindun menjeling sekilas.Tiada jawapan diberikan.Kebenciannya cuba dipamer agar Asiah Yusra mengetahui betapa bencinya dia terhadap kunjungan itu.Hindun menguak pintu kemudian menghempas kasar.
''Dia memang macam tu,''rungut Imtisal.Dia juga memberitahu perihal dua orang lagi teman sebiliknya yang suka mmenghabiskan masa di kafe siber.
''Hindun ada masalah agaknya.Kasihan dia.Sal pernah tanya masalah dia?''ujar Asiah Yusra,berbaik sangka.
''Sal ingat dalam dunia ni Sal seorang saja yang ada masalah.''Jawapan yang diberikan Imtisal tidak menjawab soalan yang dilontarkan oleh Asiah Yusra.
''Mana ada manusia yang tiada masalah.Orang yang berasakan dirinya tidak bermasalah sebenarnya sangat bermasalah.orang yang terlalu memikirkan masalahnya juga sangat bermasalah dengan dirinya sendiri.''Asiah Yusra lancar berbicara sambil mengikut Imtisal masuk ke petak biliknya.
''Kita patut menjadi orang pertengahan.apabila didatangi masalah,kita haruslah menghadapinya dengan tenang dan tabah.Berfikir positiflah terhadap setiap masalah yang menimpa kerana itu bukti cinta Allah pada kita.Kita harus bijak merungkaikan permasalahan yang berserabut di fikiran kita satu per satu.Yakinlah,setiap satu masalah yang menimpa kita itu,Allah datangkannya bersama seribu satu penyelesaian.Kita tak harus hanya merintih pada masalah tapi kena cari jalan keluarnya.''Asiah Yusra menyambung kalamnya sambil melabuh punggung di atas hamparan tikar di dalam petak bilik Imtisal.
''Susah nak aplikasikan teori tu,''komen Imtisal.
''Betul tu.Cakap memang senang tapi aplikasinya susah nak buat.Walau bagaimanapun,Yusra sampaikan juga apa yang Yusra faham.Manalah tahu orang yang mendengarnya ni lebih beramal daripada Yusra.Atau orang yang mendengarnya ni lebih arif daripada Yusra,bolehlah dia perbetulkan kata-kata Yusra kalau Yusra tersilap.''
''Yusra,jangan salah faham.Sal tak bermaksud Yusra tak beramal.''
''Hakikatnya,Yusra memang banyak kelemahan.Yusra berdoa pada Allah agar Yusra tidak hanya merintih pada kelemahan diri.Yusra nak meningkat pada pandangan Allah.Bukan senang nak kikis semua keaiban diri.Yusra tak mampu lakukannya sendirian.Oleh sebab itulah,Yusra berhajat sangat pada bimbingan dan follow up.''
''Bagaimana Yusra dapat bimbingan dan follow up?''
''Selama ni,umi dan abi Yusra menjadi pendidik penting dalam hidup Yusra.Alhamdulillah,di sini pula Yusra ada Dr. Izzul Hafiz yang dah Yusra anggap bagaikan ayah sendiri.Dia mendidik penuh hikmah.Kawan-kawan yang sama hajat pada didikan juga banyak membantu.Kehadiran mereka semua membentuk suasana yang mendidik buat Yusra.Hingga sekarang,masih banyak kelemahan diri yang tak mampu di buang.Sal,nasihatkan Yusra selalu,ya.Yusra teringin menjadi seperti Sal,Sal kuat orangnya.''Jiwa tawaduk Asiah Yusra semakin memaut sayang Imtisal terhadapnya.
''Sal sepatutnya minta dinasihati.''Imtisal merendah diiri.
''Sama-samalah kita berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.''Terjemahan surah Al-Asr itu sering mmeniti di bibir Asiah Yusra.
''Astagfirullah,lama berceloteh hingga Yusra lupa nak tanya khabar Sal.Sal apa khabar?''Asiah Yusra meletakkan tangan tangan kanannya di atas peha Imtisal.Gadis penyenyum itu sangat mengambil berat.
''Alhamdulillah.Fizikal sihat,cuma jiwa yang kurang sihat.Sal pun tak faham dengan diri Sal.Kejap Sal rasa kuat hubungan dengan Allah,kejap Sal rasa langsung tak kenal Allah.Susah betul nak maintainkan iman.''
''Lazimnya,yang susah itu mahal,Sal.Biar sebagaimana susahpun kita mesti berusaha saban ketika untuk merebutnya.Jangan sesekali putus asa.Jika kita taknak merebutnya,Allah tak rugi apa-apa.Kita nantinya akan merana.''
''Kita merana?''Imtisal berkerut kening.
''Why not?Kita akan kembali pada-NYA,kan?!
Apabila kita kembbali pada-NYA tanpa iman atau tanpa mujahadah yang kita curahkan demi merebut iman,kita juga yang rugi.''
''Kalau macam tu,nak atau taknak,suka atau tidak,memang kita kena mujahadah untuk mengekalkan iman.''Imtisal membuat kesimpulan.
''Mm.Ujian datang dan pergi itu perkara lumrah.Semua orang menghadapinya.''Asiah Yusra memberi motivasi.
''Terima kasih,Yusra!Yusra banyak bagi kekuatan pada Sal.''luah Imtisal.Baginya,hidup ini terlalu mencabar.
''Semuanya daripada Allah.Dia kasihkan hamba-NYA.Yusra hanya penyampai sahaja.Sebenarnya,Sal lebih banyak mengajar Yusra erti kehidupan,cabaran,kesusahan dan ketabahan.Terima kasih,Sal.''Asiah Yusra sentiasa menghiasi diri dengan sifat tawaduk.
Imtisal teringat pada satu kisah ketika seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w. ''siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami?''
Jawabnya,''Seseorang yang apabila kamu memandangnya kamu teringat akan Allah s.w.t,apabila kamu dengari percakapannya,pengetahuan kamu tentang Islam bertambah,apabila kamu melihat kelakuannya,kamu teringat pada kehidupan akhirat.''
Terima kasih kerana Yusra sudi jadi sahabat Sal.''Imtisal terlalu menghargai Asiah Yusra.Sukar diungkap dengan kalimah.
''Sal sebenarnya hadiah Allah buat Yusra.Sejak mengenali Sal,Yusra rasa lebih bertanggungjawab untuk mengkaji kitab-kitab aqidah.Rupa-rupanya aqidah itu bukan ilmu semata-mata tapi juga penghayatan.''
''Sal banyak masalah.Bukan aqidah saja...''
''Kalau Sal sudi,kongsilah tentang keluarga Sal.Mungkin Yusra akan lebih memahami Sal.''
Asiah Yusra sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk mengorek rahsia kisah hidup Imtisal.Daripada riak muka Imtisal,Asiah Yusra dapat membaca suatu kisah hidup yang penuh duka.Wajah itu menyimpan beban penderitaan yang amat berat.Berat mata Asiah Yusra yang memandang.Berat lagi bahu Imtisal yang memikul.
Imtisal tiba-tiba menangis.Tersedu-sedan.Kisah keluarganya terlalu pahit untuk dikongsi.Perkongsian yang cuba dilakukan dengan teman sebilik pada suatu ketika bukannya mengurangkan beban sebaliknya menambah penderitaan.Mereka langsung tidak dapat menyelam hati dan perasaannya malah semua itu dilayan bagaikan satu drama lawak bodoh untuk dijuihkan bibir atau satu drama komedi untuk ditertawakam.Imtisal juga tidak dapat melupakan ejekan Hindun.
''Apasal menangis pula ni?Macam budak tadika.Biarkan saja ayah dan mak kau berambus.Pasal kucing kau mampus tu,apa nak disedihkan sangat?Kucing lain berlambak tepi jalan.Kutiplah.''Tasya dan Linda tertawa terkekeh-kekeh.
''Tengok aku,ayah dan abang aku pun berambus juga,aku selamba saja.Hidup biar selamba,beb!Jangan jadi gila dengan persoalan remeh temeh tu.Kalau gila-gila,boleh tahan lagi,ini gila sakit mental.''Hindun bercakap langsung tak bertapis.
Betapa terhirisnya hati Imtisal dengan layanan sebegitu.Dia berasa serik untuk bercerita lagi.Biarlah disimpannya sendiri keperitan memiliki sebuah keluarga yang berpecah-belah.Dia tidak tahu di mana ibu,ayah dan adiknya.Abang tempatnya bermanja juga sudah tiada lagi di dunia.Hidup Imtisal sebatang kara.Air matanya laju bercucuran setiap kali mengenang semua itu.Serba salah Asiah Yusra dibuatnya.
''Sal,maafkan Yusra.Jika Sal tak bersedia bercerita,tak apalah.Mungkin Yusra terlalu terburu-buru.Maafkan Yusra!Kadangkala perkongsian tu boleh mengurangkan beban,Yusra sedia mendengar bila-bila masa saja.''
Imtisal berdiam diri.Hatinya masih keberatan untuk menceritakan apa yang berserabut di minda.Dia mengakui,Asiah Yusra seorang sahabat yang baik.Namun,masih terlalu awal untuknya membebankan minda Asiah Yusra dengan masalah keluarganya.Imtisal tidak sampai hati.Dia akui,apabila masalah aqidahnya dikongsi dengan Asiah Yusra,dia mendapat sedikit kekuatan.Asiah Yusra menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk membantunya.Asiah Yusra pernah menemaninya berjumpa dengan Dr. Izzul Hafiz beberapa kali.Dia tidak mahu menyusahkan lagi.
Asiah Yusra seakan dapat mendengar suara hati Imtisal lalu bersuara,''Sebagai kawan,kalau Sal ada masalah,Yusra pun ingin turut merasai.Yusra tak pernah rasa disusahkan untuk sama-sama mencari jalan keluar.Malah,Yusra rasa beruntung jika dapat menolong.''
Air mata Imtisal menitik lagi.Dia terlalu menghargai persahabatan itu.Dia hanya tidak mahu menyusahkan Asiah Yusra.Selama inipun,dia berasakan dirinya sudah banyak menyusahkan Asiah Yusra.Hatinya tidak dapat menafikan,sejak mengenali Asiah Yusra barulah dia dapat merasai erti persahabatan yang dijalin kerana Allah,bebas daripada apa-apa kepentingan duniawi.Indahnya.Anugerah persahabatan itu terlalu bernilai.
Usia persabatan mereka baru memcecah usia dua bulan.Persahabatan mereka bermula pada suatu ketika Imtisal hendak melintas jalan.Asiah Yusra pula sedang memandu Kelisa,WGN 1710.Imtisal yang pada mulanya menunggu kereta itu melintasinya di pinggir jalan,tiba-tiba bertindak lari ke tengah jalan.Dia ingin menyelamatkan seekor anak kucing.Anak kucing itu baru berusia beberapa hari.Tertidur di atas jalan raya.Asiah Yusra terpaksa membrek sevara mengejut.Dia hampir menggelek anak kucing tersebut jika tidak dihalang oleh kehadiran Imtisal.Kewujudan anak kucing itu tidak disedari kerana bulunya yang kelabu hampir sama dengan warna jalan.Tambahan pula,badannya pula sangat kecil.
Sejak peristiwa itu,Asiah Yusra sangat mengagumi keberanian Imtisal yang sanggup menggadaikan nyawa demi seekor anak kucing.
'Dia memiliki hati yang penyayang].Hatinya mulia.Hati sebeginilah perlu diajak agar mendekati didikan islam yang sebenar.'Demikian hati Asiah Yusra berbisik tika itu.Detik yang tidak disangka itu rupa-rupanya membibitkan persahabatan yang erat di antara mereka berdua.
Asiah Yusra tidak berlama-lamaan ketika berziarah.Dia meminta izin untuk beredar dari bilik Imtisal.Imtisal seakan berat untuk membenarkan sahabatnya itu pergi.Namun,dia tidak berdaya menghalang.
'Sal percayakan Yusra lebih daripada diri Sal sendiri.Fahamilah,kisah hidup keluarga Sal terlalu pedih.Biarlah Sal tanggungnya sendiri.Yusra tak patut turut mendapat tempias derita Sal.Sal tak akan ambil kesempatan di atas kebaikanmu.Biarlah Sal menanggungnya sendiri.Biarlah...'
ASIAH YUSRA selesai bersolat sunat ba'diah setelah mengerjakan solat isya' berjemaah dengan Dr. Izzul Hafiz dan pelajar-palajar lain di surau bangunan Kulliyyah Kejuruteraan.Sekejap sahaja lagi,majlis ilmu akan bermula.Asiah Yusra memerhati sekeliling.Dia tercari-cari insan-insan yang menjadi tumpuannya selama ini untuk dibimbing.Baik Imtisal,Hana ataupun Layyinul Harir,semuanya tidak kelihatan.
'Mungkin sekejap lagi kot.'Asiah Yusra memujuk diri.Matanya meninjau lagi.
'Biasanya Lien datang ketika majlis dah nak habis.Insya-Allah,kejap lagi tentu Lien akan sampai.Hana dan Sal belum pernah sampai lagi ke sini.Mungkin dalam perjalanan.Ya Allah,mudahkanlah mereka untuk datang ke majlis-Mu ini.'Hati Asiah Yusra berdoa.
Surau Kulliyyah Kejuruteraan makin dipenuhi pelajar daripada pelbagai bidang pengajian.Surau itu agak luas lagi selesa.Permaidani hijau yang terbentang menyegarkan pandangan mata.Tiada sebarang aksesori menjolok mata di dalamnya kecuali dua buah perabot berisi al-Quran dan sejadah.Satu di bahagian lelaki dan satu lagi di bahagian perempuan.
Asiah Yusra seorang pencinta majlis ilmu.Dia konsisten menghadiri kuliah Dr.Izzul Hafiz.Dr. Izzul Hafiz mempunyai keperibadian tinggi seperti ayahnya.Mereka saling mengenali.Selain itu,Asiah Yusra sentiasa merujuk pensyarah-pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu untuk merungkaikan sebarang persoalan agama.Mereka terdiri daripada alim ulama' dari pelbagai pelusuk dunia.
Asiah Yusra juga menghadiri kuliah-kuliah agama yang lain tika ada kelapangan seperti Kuliah Fiqh Mar'ah oleh Ustazah Maryam Sofiyyah,Kuliah Fiqh al-Sunnah oleh Ustaz Abu Laith,Kuliah Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Eeman El-Saifi,Kuliah Subuh al-Salam oleh Ustaz Mujtaba,Kuliah Hadis oleh Ustaz Maszlan dan sebagainya.Dia juga suka mengikuti seminar-seminar yang kerap diadakan di UIA terutamanya Seminar Sunnah oleh Dr.Asrul dan Ustaz Hafeezul Adnan.Asiah Yusra menghormati semua aliran pemikiran yang ada di Taman Ilmu dan Budi itu selagi ia berpijak di atas akidah ahli al-sunnah wal-jamaah.Dia suka mendahulukan berbaik sangka dalam semua perkara kemudian mengkajinya.Taman indah yang merangkumi kawasan seluas 287.55 hektar itu memang bersemarak dengan majlis ilmu.
Dr. Izzul Hafiz mengambil tempat.Sebuah meja dan kerusi tersedia untuknya di hadapan surau.Sebotol air mineral yang lengkap dengan penyedut minuman turut tersedia di atas meja.Seperti biasa,dia akan menyedekahkan senyuman kebapaannya terlebih dahulu.
Anak mata pemuda-pemuda harapan Islam di hadapannya ditatap seorang demi seorang,tercurah ukhwah.
''Umar tak datang?''Terdengar pertanyaan Dr. Izzul Hafiz.Hampir setiap minggu dia bertanya tentang bekas ketua pengawas di Sekolah Taman Islam tersebut.Hampir setiap minggu jiga pelajar lelaki yang mengenali Umar akan menggeleng-geleng.
Dr. Izzul Hafiz pernah mengajar di Sekolah Menengah Taman Islam.Dia amat mengambil berat tentang hal semua bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Islam,lebih-lebih lagi Umar,anak emas sekolah.Umar pernah menjadi contoh pelajar berwibawa di sekolah itu.Tidak hairanlah jika Dr. Izzul Hafiz tidak jemu bertanya tentangnya.
Sekolah Menengah Taman Islam merupakan sebuah sekolah swasta bersuasana islam.Sekolah Menengah yang terpencil di hujung peta Malaysia itu terlalu bermakna dalam hidupnya.Semua anak-anaknya disekolahkan di situ.
Asiah Yusra merenung jauh.Dia berasa hairan dengan perubahan sikap Umar yang tidak sekonsisten dahulu untuk menghadiri majlis ilmu.Dia teringat mesej-mesej Umar yang di kirim kepadanya melalui sistem pesana ringkas.Asiah Yusra sedih kerana Umar sudah jauh berubah.Dia hanyut dibawa arus perasaan ingin dicinta dan mencintai.
Asiah Yusra tidak mahu menyumbang ke arah kelalaian Umar.Lantaran itu,Dia tidak pernah membalas mesej Umar.Ya,dia sendiri mempunyai fitrah ingin dicintai dan mencintai,namun perasaan itu telah disalurkan untuk mencintai tugas dakwah dan orang yang diserunya kepada Allah.Dia berusaha sedaya upaya mengelak daripada terjebak ke dalam sumur buta cinta.
Baginya,cinta lelaki dalam situasinya yang masih belum bersedia,hanya boleh merampas kekusyukan terhadap cinta Allah,Rasul dan perjuangan.Uminya juga seringkali mengingatkan agar berhati-hati dengan perangkap cinta pada usia sebegitu.Asiah Yusra pernah teruji dengan cinta Umar namun ditepis sejauh mungkin.
Dr. Izzul Hafiz menghidupkan hati-hati yang hadir agar memperbaharui niat,datang kerana Allah.Sejenak,Asiah Yusra memuhasabah diri.
'Mungkin aku terlupa nak hidupkan hati mereka agar datang kerana Allah bukan keranaku.Kalau mereka datang sekalipun tapi kerana aku,bukan kerana Allah,tiada maknanya.Allah ingin mentarbiyahku agar lebih banyak mengikat hati mad'u dengan cinta Allah,bukan ikat dengan cintaku pada mereka semata-mata.Apa pun,moga mereka akan datang biarpun terlambat'.
Penyaman udara tidak berfungsi.Udara tetap nyaman kerana baru sahaja lepas hujan.Tabir pemisah antara lelaki dan perempuan di singkap.Pelajar-pelajar yang bersila di dalam surau Kulliyyah Kejuruteraan mula memfokuskan perhatian ke hadapan.Dr. Izzul Hafiz kelihatan sedang memanipulasi komputer riba miliknya.
''Dorongan di sekitar terlalu mendesak untuk jauh daripada Allah.Akibatnya jiwa manjadi gersang,fikiran menjadi celaru,fizikal menjadi lemah beramal.Oleh itu wahai syabab harapan ummah,siapkanlah jadual hidup yang boleh meningkatkan bekalan menuju Allah.Persiapkanlah diri,dan serulah orang lain.
Hidup ini untuk mencari redho Allah.Hanya redho Allah lah yang kekal.Orang beriman akan berasa seronok dengan Allah.Hidup orang beriman sepatutnya diserahkan untuk beriltizam dengan agama Allah sepenuhnya,bukan separuh-separuh.''kata-kata Dr. Izzul Hafiz menusuk kalbu.Tenang terasa.
''Bayangkan sebiji durian yang paling sedap,jika ditambah kicap[ dan sos cili padanya,apa jadi pada durian tu?''Pelajar-pelajar tertawa.Minda mereka membayangkan alangkah ganjilnya perbuatan itu.
''Tentu hilang keaslian rasanya yang sedap.''Dr. Izzul Hafiz menjawab sendiri pertanyaannya.
''Bayangkanlah seorang yang ingin membeli seekor lembu,tetapi didapati lembu itu tiada ekor,tiada hidung dan dua kakinya tiada.Adakah orang itu akan membeli lembu cacat tersebut?''Dr.Izzul Hafiz berhenti sejenak.Pelajar-pelajar menggeleng-geleng.
''Sudah tentu tidak!Bayangkan pula satu makhluk berkepala manusia,bersayap burung,berekor buaya,berkaki itik dan bertubuh cicak.Apa jadi pada orang tu?''Dr. Izzul Hafiz serius,tidak berlawak.Pelajar tertawa.
''Tentu hilang keindahan ciptaannya sebagai manusia yang sempurna.Demikian perumpamaan-perumpamaan bagi orang yang menambah-nambah dalam islam,mengurangkan ajaran islam dan mencampur adukkan islam.Allah hanya menerima Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah bukannya islam yang telah diubah suai oleh manusia mengikut selera mereka.Sabda Rasulullah s.a.w,
'Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang tidak akan sesat sesiapa yang berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnahku.'
Matlamat kita tinggi iaitu mencapai redho Allah s.w.t.,malah lebih jauh daripada itu,kita sama-sama nak melihat wajah Allah.Oleh itu,jadikan matlamat kita ini sebagai perbualan harian kita malah mimpi yang menemani malam kita.Matlamat suci ini takkan terasa manisnya jika kita sendiri yang tidak jelas tentangnya.''
Kata-kata itu berbekas di hati.Pelajar-pelajar kelihatan semakin berminat mendengar pengisian seterusnya.Tiada seorang pun yang tersengguk-sengguk.
Dr. Izzul Hafiz menarik nafas.Dia merenung skrin komputer ribanya seketika.Riak wajahnya menunjukkan apa yang bakal disampaikan selepas ini agak berat dan menuntut amal.Semua anak mata tepat merenung wajahnya yang terpancar iman.
''Kamu semua sebagai pelajar perlu bersungguh-sungguh menuntut ilmu kerana ilmu adalah wasilah yang penting untuk dakwah,menuju redho Allah.Kekuatan sebenar kita orang islam adalah dalaman yang taqarrub billah.Jika terasa lemah dalam apa-apa jua situasi,study contohnya,jelaskan dulu matlamat study tersebut agar dalaman kita kuat untuk terus study dengantekun,kerana Allah.''Hati para pelajar mudah tersentuh apabila dibawa contoh yang dekat dengan kehidupan mereka.
''Sedarlah,Islam ini suatu yang perlu dirasai.Sama-samalah kita bertanya diri,adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam?Orang yang merasai dan menghayati Islam dalam hidupnya,setiap tingkah lakunya sepatutnya boleh menjadi qudwah bagi orang lain.Jangan biarkan bisikan syaitan mengaburi kejelasan matlamat.Perbanyakkanlah mujahadah agar kita tidak ditarik dengan bisikan nafsu.Apa sahaja yang kita lakukan biarlah membawa sahsiah ummah.''Kata-kata itu mempunyai maksud mendalam.Dr. Izzul Hafiz menyampaikannya dengan sepenuh perasaan.
''Apa pun urusa kita,ikatlah ia dengan Allah.Apabila diikat dengan makhluk,jika makhluk tu runtuh,habislah kita,turut runtuh sepertinya.Sentiasalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.Rendahkanlah diri sama ada dalam posisi orang yang menasihati ataupun dinasihati.Orang yang menasihati perlu berfikir banyak kali akan cara yang paling hikmah dan orang yang dinasihati perlu cepat menerima jika sesuatu itu merupakan suatu kebenaran Allah.''
Tenang Dr. Izzul Hafiz menyampaikan mutiara-mutiara bekalan dakwah.Penyampaiannya sesuai untuk semua lapisan pelajar kerana intinya berkaitan aqidah.Dia membina keterikatan jiwa dengan Allah.Bicaranya dari hati bisa tembus ke setiap hati yang mendengarnya.Kalimah kebenaran itu menyegarkan roh Islam setiap pemuda pemudi islam yang hadir.
''Alhamdulillah.''Asiah Yusra mengucap syukur kerana terpilih oleh Allah untuk menghadiri majlis ilmu daripada awal hingga akhir.Majlis ilmu di dunia merupakan salah satu taman daripada taman-taman syurga.Orang yang terpaut hatinya pada taman ilmu mudahlah dipaut Allah ke taman syurga,demikian keyakinannya.Dia sangat terkesan dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah yang bermaksud,
''Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu itu beberapa darjat.''
Asiah Yusra agak kecewa kerana insan-insan yang dinanti tetap tak kunjung tiba.Hatinya memujuk sendiri dengan serangkap doa agar digerakkan hati mereka oleh Allah s.w.t. pada minggu-minggu berikutnya.Sebelum meninggalkan Kulliyyah Kejuruteraan,Asiah Yusra ceria bersalam-salaman dengan para pendengar yang datang.
Pada hujung minggu yang berikutnya,Asiah Yusra menziarahi bilik Imtisal,Hana dan Layyinul Harir seorang demi seorang.Sedikit buah tangan berupa roti kismis dibawa bersama.Dia bertanya khabar dan menunjukkan kesediaan untuk mendengar apa sahaja cerita.Tiga orang insan itu amat bermakna di hatinya.Bagi Asiah Yusra,merekalah galian-galian bergerak yang sudi Allah kenalkan buatnya.Dengan kehadiran mereka,dia berpeluang untuk merebut kemenangan dari janji Rasulullah s.a.w. iaitu:
''Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu,kurniaan itu lebih baik daripada ap-apa yang disinari matahari.''
Asiah Yusra bertekad tidak akan melepaskan peluang itu.Setiap hari dia memanjatkan doa agar diberi kekuatan oleh Allah s.w.t.Kerja-kerja untuk menjadi menara hidayah bagi orang lain bukannya kerja senang.Banyak kali dia mencuba dan banyak kali dia teruji dan terluka.Kadangkala,dia berasa terlalu lemah dan berasa dirinya tidak mampu malah pernah dirasakan dia tidak layak memikul tugas berat itu.Seringkali juga dia bermuhasabah tentang dosa-dosanya yang mungkin menjadi hijab antara penyampaiannya dan orang yang diseru.
Asiah Yusra mengisi carta perancangannya dengan teliti.Tarikh peperiksaan pertengahan semester,tarikh menyerahkan assignment,tarikh pembentangan dan tarikh-tarikh penting baginya sebagai seorang pelajar sudah dicatat sebaik-baiknya.
'Kesibukan makin mendesak.Walau sesibuk manapun,aku mesti cari masa untukku isi bersama sahabat-sahabat yang ku ajak ke jalan Allah.Kerja tarbiah dan dakwah bukan kerja main-main.Ia amanah para rasul.Aku perlu buat tindakan lanjut pada mereka.'Asiah Yusra menggigit belakang pen.Kemudian pen itu digerak-gerakkan di hujung jari.Dia kelihatan berfikir panjang.
'Mm,hujung minggu ni ada Program Rehlah Mahabbah dengan ahli kelab Penulisan.'Asiah Yusra merupakan salah seorang penggerak kelab tersebut.
'Bagusnya kalau Sal,Hana dan Lien ikut sekali.Aku hanya perlu mengajak,terpulanglah sama ada mereka nak pergi ataupun tidak.Aku tak boleh menghukum mereka tak nak ikut sebelum aku yang terlebih dahulu mengajak.Tarbiah itu seni,halus dan tak boleh dipaksa.Ia perlu berinteraksi dengan kerelaan dan fitrah manusia.'Bisik Asiah Yusra.Dia menarikan pennya di helaian carta penerangan.Perkataan 'ajak' ditulis.
PADA hari yang dijanjikan,Asiah Yusra bersiap-siap sejak awal pagi.Senyumannya meleret kerana Imtisal,Lien dan Hana menyambut baik ajakannya tempoh hari.Mereka berjanji untuk datang.
Tepat pukul 7.45 pagi,bas sudah tiba di perkarangan utama universiti,tidak jauh dari bangunan pentadbiran.Sudah ramai ahli Kelab Penulisan berkumpul lebih awal disitu.
Asiah Yusra berjalan perlahan menuju ke arah bas sambil asyik menoleh ke belakang.sebaik sahaja mendapatkan bas,Asiah Yusra berdiri di muka pintu bas.Dia tahu bas itu akan bertolak ke Taman Tasik Titiwangsa bila-bila masa sahaja.Matanya liar menanti-nanti kedatangan Imtisal,Hana dan Layyinul Harir.
Kebanyakan ahli Kelab Penulisan sudah bersiap sedia mengambil tempat duduk masing-masing.Semuanya perempuan.Rehlah Mahabbah itu memang khusus untuk pelajar perempuan sahaja agar pergaulan lebih terjaga dan diberkati.Pelajar lelaki Kelab Penulisan turut mengadakan aktiviti rehlah pada hujung minggu tersebut namun di tempat rekreasi yang lain.
Asiah Yusra menjenguk ke dalam bas.Rakan-rakan tersayang sedang memerhati gelagatnya dengan tanda tanya.
''Ada lagi?''Pemandu india bertanya.Dari tadi dia menunggu arahan untuk menggerakkan bas.Asiah Yusra tidak segera menjawab.Diperhatinya lagi ke luar pintu bas.Hatinya masih menaruh secebis harapan.Kemudian telefon bimbitnya berirama.
'Mungkin salah seorang daripada mereka,''Bisik Asiah Yusra sambil mendapatkan telefon bimbit di dalam beg tangannya yang tak berjenama.Sangkaannya meleset.No Dr. Hijriah,penasihat sayap pemudi Kelab Penulisan yang tertera di skrin telefon.Dr. Hijriah memberitahu bahawa dia tidak dapat hadir bersama dalam Rehlah Mahabbah itu kerana mempunyai urusan ppenting secara tiba-tiba.Ketika berbual dengan Dr. Hijriah,ada gegaran pada telefon yang menunjukkan tiga mesej diterima serentak.Tidak sabar-sabar Asiah Yusra inginj mengakhiri perbualan untuk membaca mesej tersebut.
'Mungkin mereka,'bisik hatinya.
Sebaik sahaja membaca ketiga-tiga mesej tersebut,impian Asiah Yusra hancur berkecai.Ketiga-tiga insan yang dinantikan menolak pada saat akhir.Masing-masing mempunyai alasan tersendiri.










Salam.Yusra,maafkan Sal!Sal kena siapkan dua assignment.Minggu depan kena hantar.Lagipun,Sal kena study,ada test.Lain kali,Sal ikut.I'm sorry!Imtisal.











Yusra,Lien tak boleh pergi.Lien nak keluar.Ada hal.Sorry,lambat bagi tahu.Layyinul Harir.











Hana teringin nak ikut.Tapi,Hana asyik teringatkan nenek.Hana nak balik rumah nenek minggu ni.Mengubat rindu.Pagi isnin baru balik sini.Lagipun datuk tiri Hana sakit tenat.Doakanlah dia cepat sembuh.Hana.











'Tak apalah.Semua ni ujian.'Asiah Yusra menghela nafas panjang.Telefon bimbit disimpan semula ke dalam beg tangan.Dia masih tercegat di pintu bas.






''Bila mau jalan ini bas?''rungut pemandu India.






''Maaf ya,pakcik.Okey,boleh jalan sekarang,''ungkap Asiah Yusra sambil melangkah ke tempat duduk.






Ketika bas itu bergerak,Asiah Yusra masih membuang pandangan ke luar bas,manalah tahu kalau-kalau mereka tiba-tiba berubah fikiran kemudian bertindak mengejar bas.Apabila bas semakin menjauh dari perkarangan universiti,Asiah Yusra menyedari semua itu hanyalah khayalan.






'Khayalan membina impian dan bermula impian,sesuatu itu menjadi kenyataan,''pujuk hati Asiah Yusra.






SUASANA di Taman Tasik Titiwangsa kelihatan ceria.Taman ini merupakan salah satu lokasi kegemaran warga kota kerana menyediakan aktiviti rekreasi dan sukan sama ada berkumpulan ataupun sendirian.Hampir semua warga kota pernah mengunjunginya.Terletak di pinggir kota di Jalan Kuantan berhampiran dengan Wangsa Maju dan Setapak.






Antara kemudahan yang menarik perhatian pengunjung ialah trek joging,kayak,perkhidmatan menunggang kuda,gelanggang tennis,gym,dewan squasy,padang bola dan sebagainya.Malah pengunjung boleh menjalankan program latihan seperti latihan silang(joging+berbasikal/joging+kayak),latihan bebanan dan latihan spesifik sukan.Taman ini menyediakan pakej menarik bagi penggemar sukan berorientasikan rekreasi.






Di Taman Tasik Titiwangsa,semua ahli Kelab Penulisan memulakan aktiviti dengan membentuk satu bulatan.Bulatan itu dinamakan Halaqoh Mahabbah.Halaqoh yang dibentuk diisi dengan aktiviti pemantapan taaruf,penyubur keimanan dan santapan rohani oleh Asiah Yusra selaku Naib Presiden Kelab Penulisan.Kemudian mereka melakukan aktiviti berkuda dan berkayak dengan tema'Setangkas Wanita Ansor'.Keceriaan terpancar.






Setelah solat zuhur berjemaah,ahli Kelab Penulisan diberi peluang berkarya di tepi tasik.Masing-masing bertebaranlah mencari posisi yang sesuai.Mereka memerah minda untuk menulis bait-bait indah.Kedamaian tasik menjadi sumber ilham.Ada yang mengarang sajak,seloka,pantun,puisi,cerpen dan sebagainya yang padat dengan citra islami.Slot selepas itu akan diisi dengan persembahan karya oleh orang yang terpilih melalui cabutan.Aktiviti itu dipanggil'Cabutan Rahmat.'Cabutan akan dibuat oleh beberapa orang AJK penting Kelab Penulisan.






Apabila tiba slot 'Cabutan Rahmat',Maziah menjadi orang pertama yang terpilih.Dia mempersembahkan karyanya yang berbentuk gubahan lagu.Menurutnya,lirik lagu itu diambil daripada Sekolah Menengah Taman Islami,hasil ciptaan Elya Khadeeja. Mekar kerinduan Asiah Yusra terhadap sahabat baiknya apabila nama itu disebut.






'Alangkah indahnya jika Elya bersama kita pada hari ini,'bisik hati Asiah Yusra.






Lagu itu bisa memekarkan ukhwah sesiapa sahaja yang mendengarnya.Ukhwah yang dimaksudkan ialah ukhwah yang dipagari syariat islam,kerana Allah.






Maziah mengalun merdu.











Indahnya Taman Islami






Syahdu terasa,






Tatkala kkaki melangkah,






Ke Taman Islami,






Yang mekar mewangi,






Dengan bunga al-haya',






Bisikan angin keimanan,






Menyegarkan ketaqwaan diri,






Nyanyian unggas berzikir merdu,






Mengasyikkan cinta pada Ilahi,






Kerlipan indah mutiara hitam,






Menyinari kegelapan naluri,






Kicauan riang pujian kebesaran,






Bergema agung di sana sini,






Rimbunan pepohon ukhwah,






Menjadi teduhan untuk bersatu hati,






Oh,indahnya Taman Islami!











Keindahan bait lagu dan kemerduan suara Maziah mempersona.Semua yang hadir teruja.Hati mereka asyik memuji,tidak lupa pujian pada Pencipta.Asiah Yusra mencabut uundi.Mariyah tampil terpilih dengan sajak gubahannya.Dia membuat permintaan agar Asiah Yusra mendeklamasikan sajak itu untuknya.Asiah Yusra cukup terkenal di kalangan mereka sebagai seorang yang fasih mendeklamasikan sajak.Asiah Yusra tidak membantah.Dia tampil ke tengah halaqoh mendapatkan Mariyah.






Helaian kertas yang berada di tangan Mariyah beralih tuan.Sedikit perasaan gementar melanda Asiah Yusra tatkala membaca bait-bait sajak itu sepintas lalu.Entah mengapa.Terlalu dalam pengertiannya untuk dihayati,apatah lagi untuk diamalkan.











Teman,aku ingin...






Teman tersayang,






Aku ingin kita seperti Abu Bakar al-Siddiq,






Persahatan dijalin kerana al-Khaliq,






Harta dikorban bukan sedikit,






Cintakan kebenaran,sanggup bersakit.











Serta tawakkal Ibrahim mulia,






Ketika meninggalkan insan tercinta,






Di bumi tandus tanpa bicara,






Meyakini Allah sebagai penjaga.











Aku impikan antara kita seorang Umar,






Berdiri tatkala tunduknya manusia,






Bersuara tatkala diamnya mereka,






menggerunkan musuh durjana.











Serta senyuman Syed al-Qutb,






ketika berhadapan dengan tali maut,






akidah mantap tidak terrenggut,






roh dakwahnya tidak surut.











Aku ingin kita seteguh Ibnu Zubbair,






menahan panahan Hajjaj dengan rela,






bersama si ibu tua,






lantas syahid,rohnya ke syurga.











Marilah kita menyemai benih Hassan al-Banna,






fikrahnya jernih,menggegar dunia,






merelakan tubuhnya dimamah peluru,






demi menegakkan kalam Allah dan Rasul.











Aku cintakan pemuda Giffari,






menentang kezaliman walaupun diancam,






moga kan lahir lagi di abad ini,






jiwa jitu pemuda yang tak pernah suram.











Aku ingin kita sepemaaf Yusuf,






tetap mencintai saudaranya,






walaupun dihumban ke perigi tua,






terpisah dari ayahanda bertahun lamanya.











Aku ingin pusara kita harum mewangi,






bagai harumnya pusara masyitah,






semerbak kasturi.











Aku ingin persahabatan indah ini,






bisa menjadi syafaat,






di Mahkamah Mahsyar nanti.











Mariyah menanggalkan kacamata yang dipakai.Air jernih yang bergenang dikesat dengan hujung lengan baju.Sajak itu dikarang dengan penuh penghayatan,lantaran itu,Mariyahlah orang yang paling merasai erti sajaknya.Asiah Yusra telah mendeklamasikannya dengan baik.Menyentuh jiwa.






Mariyah terharu dengan nikmat ukhwah yang sudi Allah campakkan ke hati mereka semua.Bukan senang untuk merasai nikmat itu.Sudah terlalu banyak air mata ditumpahkan.Perselisihan,terasa hati,terluka,percanggahan pendapat,bersangka-sangka,menegur,ditegur,dikritik,dan pelbagai lagi ujian yang terpaksa dilalui sesama mereka untuk membeli mahalnya harga ukhwah.Semua pengalaman itu tetap manis apabila dikenanga kerana semuanya mengandungi nilai tarbiah yang berharga daripada Allah.Segalanya telah mendidik mereka agar lebih matang dalam menempuh cabaran mendatang.Asiah Yusra turut menahan sebak mengenang semua itu.Wan,Fie,Umaimah,Qomar dan Deena turut mengesat mata.Ada air bertakung di kelopaknya.






'Inilah antara keindahan halaqoh cinta ini.Halaqoh cinta terbina oleh hati-hati yang mudah mengalirkan air mata kerana Allah.Air mata inilah yang terus menyuburi taman indah milik kita ini.Ya Allah,kurniakanlah kami mata-mata yang menangis kerana-Mu bukan menangis kerana selain-Mu.Amin.'Hati Asiah Yusra bermonolog sendiri.






Sepulangnya dari Rehlah Mahabbah,azam Asiah Yusra membara untuk mengajak Imtisal,Hana dan Layyinul Harir turut merasai indahnya hidup dalam halaqoh.Kesibukan yang semakin menekan menyebabkan dia kesuntukan masa untuk selalu menziarahi mereka.Lagipun,masa lapangnya banyak yang tidak padan dengan masa lapang mereka.Asiah Yusra merasakan dia perlu mengatur satu waktu khusus untuk mereka sama-sama dapat bertemu dalam satu halaqoh.






Pertemuan dalam halaqoh boleh menjadikan pertemuan mereka lebih sistematik untuk saling bersua muka kerana Allah dengan kekuatan akidah.Pasti banyak manfaat yang boleh diambil daripada sebuah halaqoh yang terbina.Salah satunya ialah mereka boleh sama-sama duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu hidup setiap seorang daripada mereka.Di samping itu,mereka boleh merancang untuk belajar bersama,solat jemaah bersama dan banyak lagi yang boleh dilakukan apabila bersama,sesuatu yang tidak dapat dilakukan apabila keseorangan.






Asiah Yusra menyampaikan hajat besarnya kepada seorang demi seorang daripada tiga orang sahabatnya.Asiah Yusra cukup simpati melihat mereka terumbang ambing meredah samudera kehidupan.Teringin sekali untuknya memimpin tangan mereka menaiki bahtera penyelamat iaitu hidup berlandaskan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.






Bagi Asiah Yusra,potensi yang mereka ada ialah mereka semua mempunyai hati yang berhajat kepada kebaikan cuma belum bersedia.Perasaan mereka masih perlu dinaikkan agar segera berhajat untuk memilih jalan hidup yang benar-benar menuju Allah.Hati mereka masih perlu diproses supaya bersedia diserahkan kepada asuhan Islam sepenuhnya,fikirnya.






''Halaqoh itu nanti akan mengukuhkan lagi cinta kita yang dijalin kerana Allah.Cinta kita adalah cinta insan bersaudara.''Asiah Yusra menjiwai kata-katanya agar memancing keyakinan setiap seorang daripada mereka.Hari dan waktu digariskan tanpa meletakkan apa-apa paksaan.






''Datanglah ketika hati boleh berkata,kedatanganku ini kerana Allah bukan kerana kasihankan Yusra.Jika hati tidak mampu berkata begitu,tidak datang adalah lebih baik,''pesan Asiah Yusra bersungguh-sungguh.Dia tidak mahu Layyinul Harir,Hana dan Imtisal menganggap halaqoh itu satu paksaan.Dia lebih senang kalau mereka datang dengan kerelaan.






Asiah Yusra memiliki ramai teman dan kenalan dari pelbagai kaum,bangsa,agama dan negara di UIA.Nidaul Jihad dari Pakistan dan Parweena dari Tarjikistan amat menyayanginya.Begitu juga Mahpirat dari China dan Ifthin dari Somalia.Mereka selalu berbual mesra setiap kali bertemu di rumah Allah.Asiah Yusra mudah dalam integrasi kerana sifat peramah dan pandai meraikan tersulam dalam peribadi.Walaupun mempunyai ramai kawan,tiga insan iaitu Imtisal,Layyinul Harir dan Hana diberi perhatian lebih.Pada setiap semester,Asiah Yusra meletakkan target beberapa orang tertentu sahaja untuk benar-benar difokus dan diajak pada kebenaran Allah.Dia bercita-cita besar menjadi menara hidayah bagi orang lain.






ASIAH Yusra menanti di masjid.Itulah tempat yang ditetapkan,demikian juga waktu dan hari.Berjam-jam penantiannya.Diisi dengan membaca al-Quran kemudian mengulang kaji pelajaran.Penat menanti,dia bangun menarik nafas.Hatinya dipujuk sendiri.Keindahan seni bina masjid universiti yang masyur dengan nama Masjid Sultan Amad Syah memberi ketenangan kepadanya.Tulisan khat yang menghiasi dinding direnung penuh takjub.Hati yang resah rasa terpujuk.






Dia menggagahkan diri untuk melangkah ke bilik semua orang yang dinanti walaupun kolej mereka terletak sangat jauh antara satu sama lain.Imtisal di Mahallah Aminah.Hana di Mahallah Hafsa.Layyinul Harir di Mahallah Maryam.Kelisanya ada yang menyewa.Seorang demi seorang diziarahi dengan berjalan kaki.Mereka diseru di bilik masing-masing namun kehampaan yang diterima.Semuanya masih tidak merasai kepentingan untuk hidup berhalaqoh.Mereka menganggap,cukuplah mereka memiliki Asiah Yusra sebagai teman tempat berkongsi suka dan duka,mereka tak perlukan orang lain yang akan turut mendengar masalah mereka dalam satu halaqoh.Percubaan untuk mengadakan halaqoh dengan Imtisal,Hana dan Layyinul Harir gagal.Asiah Yusra bertekad untuk berusaha lagi.






''ASSALAMUALAIKUM.''Asiah Yusra menerima panggilan telefon daripada Dr. Izzul Hafiz.






''Waalaikumsalam warohmatullah,''jawabnya.






''Minta izin,boleh cakap ke?''Dr. Izzul Hafiz sangat mementingkan budi bahasa.






''Insya-Allah boleh,ana tak sibuk pun.''Asiah Yusra mengizinkan.Dia sedang mencipta kad istimewa dengan kreativitinya sendiri sempena hari lahir Imtisal.






''Ana cuba contact ayah Yusra tapi tak dapat.Dia tukar nombor?''






''Haah.Dr. nak nombor barunya?''






''Ya.''






''013-9444333.''






''Terima kasih.''






Ayah Asiah Yusra dan Dr. Izzul Hafiz sudah lama mengenali sejak mereka sama-sama menyambut ijazah sarjana di United Kingdom.Isteri kedua Dr. Izzul Hafiz pula merupakan kawan ibunya.Takdir Allah,ibu dan ayah Asiah Yusra ditugaskan sebagai pensyarah di UTM,Johor sementara Dr. Izzul Hafiz ditempatkan di UIA,Gombak,universiti tempat Asiah Yusra belajar.Biarpun terpisah namun persahabatan mereka yang diikat kerana Allah terjalin erat sehingga kini.Apatah lagi,kebanyakan anak-anak Dr. Izzul Hafiz pula merupakan kawan-kawan kepada kakak dan abang Asiah Yusra sewaktu mereka sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Taman Islam.Mereka kini bertebaran merata-rata tempat di bumi Allah,di dalam dan luar negara.






'Bagus juga kalau aku tanya Dr. Izzul Hafiz tentang masalahku.Mungkin dia boleh memberi nasihat berguna untukku amalkan.'Hati Asiah Yusra berbisik.






Satu mesej dihantar.Dia menceritakan dengan ringkas ujian yang menimpanya dan bertanyakan tip untuk memenangi hati mad'u.Dr. Izzul Hafiz mengajaknya berbincang di pejabat.Dr. Izzul Hafiz tidak lupa menyuruhnya mengajak seorang teman.Asiah Yusra menelefon Maziah untuk menemaninya.Gadis itu merupakan bekas teman seperjuangannya di Sekolah Menengah Taman Islam yang kini menuntut di universiti yang sama.Maziah tidak keberatan.



Di bilik pensyarah yang dikagumi itu,Asiah Yusra dan Maziah mengambil tempat di atas kerusi berhadapan meja Dr. Izzul Hafiz.Bilik itu penuh dengan buku.Tidak cukup di atas rak yang besar,di atas meja juga terdapat timbunan buku.Hairannya,pensyarah kejuruteraan Medikal itu lebih banyak menyimpan buku-buku agama di dalam biliknya.



Dr. Izzul Hafiz berkongsi ilmu yang dikupas daripada buku Mustafa Mahsyur bertajuk 'Dakwah Fardiah'.Asiah Yusra dan Maziah aktif mendengar sambil mencatat dan bertanya apa yang tidak difahami.Dr. Izzul Hafiz menerangkan 7 peringkat dakwah fardiah.Menurutnya,dakwah fardiah bermula dari peringkat 0 iaitu husnu ikhtiyar.Menurutnya,peringkat itu dinamakan kosong kerana ia masih belum berada di medan sebenar dakwah fardiah.Kriteria yang perlu ada pada orang yang berpotensi untuk melalui proses dakwah fardiah ini ialah a'milin,mujahid,muntij dan mufakkir.Kriteria ini jika dipertingkatkan pada diri seseorang boleh membantu mencapai matlamat islam dengan lebih lancar,ungkapnya.Kemudian,Dr Izzul Hafiz menerangkan satu per satu sifat-sifat yang disebut sebelumnya.



''Sifat amilin ialah sifat seseorang yang suka beramal.Apabila dia melihat sesuatu dia rasa nak lakukan perubahan,nak tukar.Orang sebegini mampu yakinkan orang lain,''jelas Dr. Izzul Hafiz.



'Hana pandai berhujah,kata-katanya mampu meyakinkan.Lien orangnya aktif ke mana-mana,ada ciri-ciri orang yang tekun bekerja.Sal pula sangat tekun belajar,kuat amalannya ketika keyakinannya pada Allah disuburkan.Hanya apabila dia terganggu,dia agak lemah.Tapi,boleh diproses lagi.'Bisik hati Asiah Yusra.Dia mengaitkan sifat itu dengan teman-temannya.



''Sifat mujahid ialah sifat bersungguh-sungguh.Sifat ini perlu di proses pada diri orang yang dididik agar tindakannya lahir daripada keyakinan,ilmu dan hujah bukan semangat semata-mata.''Dr. Izzul Hafiz meneruskan penjelasan.



'Sal,Lien,Hana,semuanya mempunyai kesungguhan tersendiri.Lien bersungguh dengan cinta manusia boleh ditukar agar dia menjadi bersungguh untuk mengejar cinta Allah.Sal bersungguh dalam study,boleh dimanfaatkan untuk kepentingan Islam pada masa akan datang.Hana bersungguh menziarahi neneknya,boleh bersubur dengan kesungguhan menziarahi mad'u apabila dirinya mendapat kefahaman Islam sebenar.'



''Sifat muntij ialah produktif,boleh lahirkan sesuatu dan boleh menarik orang lain.''



'Sal,Lien dan Hana akan menjadi individu yang produktif jika dapat menghayati cara hidup Islam yang sebenar.'



''Sifat mufakkir ialah kreatif,suka berfikir dari perspektif yang lain.Jika dia gagal dia ada 1001 alternatif dan tak mudah panik.''



'Sal,Lien dan Hana punyai pelbagai masalah hidup.Tentu pengalaman mereka menjadikan mereka seorang yang kreatif menyelesaikan rintangan mendatang.'



''Halaqoh yang cuba kita bina lain daripada yang lain kerana ahlinya ditarik dengan lembut dan hikmah melalui proses dakwah fardiah bukan secara paksa atau program oriented semata-mata.Niat kita mestilah bersih daripada kepentingan tertentu sebaliknya ikhlas untuk mengenalkan mereka dengan Allah dan segala tuntutan-Nya.''Asiah Yusra dan Maziah berpandangan.Mereka memuhasabah diri.



''Kita mahukan halaqoh yang mempunyai roh,halaqoh yang berperanan sebagaimana yang Rasul tunjukkan,halaqoh yang akan berkembang melahirkan lebih ramai insan soleh,halaqoh yang konsisten ke akhir hayat,halaqoh yang mendidik dan halaqoh yang menyusun perjalanan hidup secara bersama-sama bukan bersendirian.''Kata-kata itu sarat cita-cita suci.



''Walaupun banyak pihak termasuk pihak iniversiti sudah mengadakan halaqoh malah mewajibkan halaqoh sebagai credited packaged,tapi halaqoh yang Kelab Penulisan ingin bina adalah halaqoh yang unik.Halaqoh yang kita impikan adalah halaqoh yang terbina bermula dari titik permulaan yang benar iaitu iman dan kesedaran.''Asiah Yusra dan Maziah mengangguk-angguk.Mereka tidak menyampuk.



''Kita tak mahu halaqoh yang terbina ini atas dorongan tertentu.Bukan juga atas dasar paksaan.Perlu ada perbezaan atau tamayyuz.Halaqoh ini mestilah unik dengan mengambil contoh uniknya generasi al-Quran yang Rasulullah s.a.w lahirkan.Uniknya sesuatu halaqoh kerana ia mempunyai roh.Itulah halaqoh sebenar.''Dr. Izzul Hafiz benar-benar menjiwai penerangannya.



Setelah dibekalkan ilmu dan ditempiaskan iman,Dr. Izzul Hafiz menyuntik motivasi agar terus bersungguh mengajak manusia ke jalan Allah.Perkataan jiddiyah sering meniti bibirnya.Dia turut menekankan agar memandang semua manusia dari kacamata dakwah dan kasih sayang.Dia juga tidak lupa mencadangkan satu penugasan pada ahli Kelab Penulisan agar dapat meringkaskan buku Mustafa Mahsyur dalam bentuk praktikal.Asiah Yusra dan Maziah menyambut baik cadangan tersebut.



''Tugasan ni bukan untuk dihantar pada ana sebagaimana kebiasaan pensyarah memberi assignment,''seloroh Dr. Izzul Hafiz.Asiah Yusra dan Maziah tersenyum.



''Anggaplah assignment ni akan di hantar pada Allah melalui penghayatan dan pengalaman terhadap isi kandungannya,bukan sekadar cantik menjadi teori semata-mata,''pesan Dr. Izzul Hafiz.



Dr. Izzul Hafiz suka memberi arahan dalam gaya bahasa cadangan.Arahannya cukup hikmah.Sesiapapun tidak berasa terpaksa dengannya.Asiah Yusra bertekad untuk melaksanakannya.Dia seorang yang tampak lembut tapi tangkas seperti askar apabila menerima tugasan.



Asiah Yusra telah membahagikan tujuh peringkat dakwah fardiah kepada tujuh orang teman.Setiap seorang diminta mengadaptasi buku Mustafa Mahsyur tersebut dalam bentuk praktikal.Dia bertekad untuk menanamkan kesedaran dakwah fardiah yang mendalam di kalangan semua ahli Kelab Penulisan di bawah pimpinannya.



'Biar taman kita ini meriah dengan dakwah fardiah.'Azamnya padu.



Peringkat pertama siap dibuat,tercetak kemas di helaian kertas,menuntut amal dalam kehidupan seharian pula.





-Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang-


-Pelan tindakan dakwah fardiah,Marhalah 1-

<MARHALAH PERTAMA TEMPOH DUA MINGGU>

CIRI2:Menjalinkan silaturrahim.

PELAKSANAAN:Taaruf-nama,umur,asal,kegemaran,sifat dominan,masalah,latar belakang.

Ceria dan ramah-senyum,tegur bila bertemu.

MASA:Lepas kuliah,qiamullail,riadhah,ifthar,hujung minggu.

TEMPAT:Bilik,kelas,tempat umum yang sesuai,kafeteria

--------------------------------------------------------------------------------------

CIRI2:Mengambil berat

PELAKSANAAN:Tanya khabar,tanya masalah,sedia mendengar,sedia berkongsi,ziarah,SMS,telefon,surat.

MASA:Ketika berziarah,lepas riadhah bersama,makan bersama,SMS(pagi2),telefon,hujung minggu.

TEMPAT:Bilik,sport complex,musolla,lain-lain yang sesuai.

--------------------------------------------------------------------------------------

CIRI2:Meraikan

PELAKSANAAN:Beri hadiah-buku,kaset,cd tarbawi,risalah tazkirah,makanan,lain-lain(ikut kemampuan),belanja makan,jemput ke bilik(melayan dengan baik)

MASA:Beri ketika ziarah,bertemu di kuliah,aktiviti qiam,ifthar(berbuka puasa),riadhah,ketika bertemu,lain-lain.

TEMPAT:Bilik,sport complex,musolla,lain-lain yang sesuai.

--------------------------------------------------------------------------------------

CIRI2:Qudwah

PELAKSANAAN:Kemas,sopan,bersih,ramah,ceria,cerdik,bertanggungjawab,rjin,sabar,pemurah,lembut(semua akhlak islam),pemaaf.

MASA:Setiap masa termasuk bersendirian.

TEMPAT:Di mana sahaja.

1 comment:

  1. bg sesiapa terbaca blog ni,jgn salah faham yer,novel ni bukan dicetak rompak,saja msuk lam blog coz ada sorang insan tu nak baca,=)

    ReplyDelete